DSC_2451

Bukit Puteri

Lokasi yang tidak asing lagi di Terengganu bagi mereka yang biasa ke negeri ini kerana lokasinya berhampiran Pasar Kedai Payang yang merupakan tarikan utama pelancong ke Terengganu untuk membeli belah.Salah satu petunjuk untuk Bukit Puteri ini adalah Rumah Api berwarna putih yang jelas kelihatan dari arah Pasar Kedai Payang dan dari arah Taman Shahbandar serta Istana Maziah. Walaupun terdapat pelbagai cerita mistik mengenai bukit ini namun ianya juga penuh dengan nilai-nilai bersejarah. Selain daripada Rumah Api terdapat juga Genta atau loceng gergasi, meriam, kubu, tempat mesyuarat serta beberapa kubur-kubur lama.

Jika anda ingin melihat panorama Kuala Terengganu dengan lebih jelas, Bukit Puteri adalah tempat yang perlu anda lawati. Dengan hanya bayaran sebanyak RM1.00 anda boleh naik ke puncak bukit ini dengan kemudahan tangga dan tempat pejalan kaki yang di sediakan. Oleh kerana buat masa ini laluan ke Bukit Puteri dari Bazar Warisan di tutup untuk proses penyelenggaraan, anda boleh ke Pusat Penerangan Pelancongan Terengganu yang terletak di tepi Bazar Warisan di mana laluan sementara disediakan ditepi bangunan itu.

Terdapat kemudahan kerusi dan wakaf disediakan untuk anda beristirehat dan menghirup udara segar yang kadangkala boleh membuatkan anda terlena. Dari arah puncak bukit anda akan dapat melihat pesisir bandar Terengganu, Pulau Duyung, Kampung Seberang Takir dan juga sekitar bandar Kuala Terengganu. Mungkin kemudahan seperti teropong bersyiling perlu disediakan untuk para pelancong melihat dengan lebih jelas lagi panorama sekitar Kuala Terengganu. Bagi yang beragama Islam jangan lupa menghadiahkan bacaan Al-Fatihah anda kepada mereka-mereka yang telah pergi dan di semadikan di puncak bukit ini.

Related Posts with Thumbnails

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *