xDSC_2142

Menyusuri Sungai Terengganu

Salah satu aktiviti yang jarang diketahui oleh kebanyakan pelancong yang datang ke Terengganu adalah menyusuri Sungai Terenganu dengan bot penambang. Bot yang boleh memuatkan kira-kira 20 orang ini boleh di sewa mengikut kadar jam iaitu RM40.00 sejam. Anda akan dibawa menyusuri Sungai Terengganu dan melihat kehidupan penduduk di tepi tebing sungai ini. Kebiasaannya pada hari minggu atau musim cuti persekolahan lebih banyak aktiviti sekitar tebing sungai dengan anak-anak kecil bermain dan mandi manda bersama kawan-kawan.

Anda juga akan melewati Pulau Duyung dan dapat melihat bengkel-bengkel membuat bot tradisional dari sudut yang berlainan. Jika air pasang bot akan membawa anda meronda sekitar Pulau Sekati, salah satu pulau yang menempatkan perkampungan Melayu Tradisional Terengganu dimana hanya satu titian yang membolehkan motorsikal sahaja melaluinya. Pelbagai gelagat para pemancing dapat anda temui ketika menyusuri sungai yang boleh anda rakam samada dengan kamera atau perakam video anda.

Aktiviti sebegini juga saya cadangkan untuk mana-mana kumpulan fotografi yang datang ke Terengganu. Sekurangnya anda dapat merakam pelbagai gelagat dan panorama sepanjang perjalanan anda nanti. Anda juga boleh meminta pemandu bot untuk singgah di Pulau Wan Man yang menempatkan Taman Tema Tamadun Islam. Jika anda pergi secara berkumpulan, kos sewaan bot akan menjadi lebih murah jika di bahagikan untuk setiap individu. Adalah menjadi satu kerugian jika anda datang ke Terengganu jika tidak menaiki pengangkutan air tradisional ini dan menyusuri Sungai Terengganu. Pastinya pengalaman ini sangat menarik untuk anda bawa balik dan ceritakan kepada kawan-kawan anda nanti.

Nota : Oleh kerana buat masa ini jeti bot penambang Kuala Terengganu berhadapan dengan Bazar Warisan sedang dinaik taraf, terdapat satu jeti sementara berhadapan dengan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Terengganu bersebelahan jeti ke Pulau Redang dan Restoran Terapung Puteri. Anda perlu menaiki bot penambang dari sini ke Seberang Takir dan kemudian menyewa bot penambang dari sana.

Related Posts with Thumbnails

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *